*Dalam kenangan: Dalilah Tamrin (1967-2010)
Oleh – Elviza Michele Kamal *

Langit petang di Tanah Perkuburan Kampung Labuhan Dagang menangis lewat
Isnin lepas. Langit di hati saya juga masih kelabu dengan airmata. Jadi,
saya memohon kelonggaran dari pembaca budiman agar ruangan Kanvas Kata
minggu ini dikhususkan sebagai obituari sahabat saya, Dalilah Tamrin.

Dunia penulis laman web telah bertanggungjawab menemukan kami dalam
lingkungan keakraban manusia. Persahabatan kami tidak tua usianya, baru
empat tahun sejak pertama kali bertemu mata. Tetapi empat tahun itu getir.
Apa yang saya belajar dari Dalilah, boleh diibaratkan seluas laut, setinggi
gunung dan setala langit lepas. Tuhan pertama kali menduga Dalilah ketika
beliau berusia 37 tahun, di mana Dalilah telah didiagnosiskan mengidap
kanser payudara. Bahagian payudara yang tercemar dengan kuman jahat itu
segera dibedah dan dibuang jauh-jauh. Selesai pembedahan payudara, enam
kitaran chemoteraphy dan 24 sesi radiotherapy, Dalilah menarik nafas lega.
Tetapi rasa lega Dalilah cuma bertahan tiga tahun sehaja. Tahun 2008, sekali
lagi Tuhan menduga Dalilah. Kanser metastasis telah disahkan merebak ke
bahagian hati, tulang rusuk, tulang selangkang dan rahang beliau. Penularan
kanser di bahagian hati itu juga telah menempatkan Dalilah sebagai pesakit
kanser kronik, tahap keempat. Sekali lagi tubuh badan Dalilah menderita
didera rawatan chemotherapy, yang bukan sahaja membunuh sel-sel kanser,
tetapi juga setiap zarah sel-sel lain di badan. Tidak tertanggung mata
melihat penderitaan Dalilah. Namun, berbekalkan dorongan suami dan
anak-anak, Dalilah selesaikan juga enam kitaran DOCE chemotherapy dan lima
sesi radiotheraphy. Tidak juga mati kanser jahanam itu! Pada bulan Julai
2009, para doktor dan pakar onkologi bijaksana telah memberi jangkaan bahawa
Dalilah hanya ada 18 bulan untuk hidup. Ketika baru mengetahui diagnosis
yang menjengkelkan itu saya meradang, saya bertanya kepada Dalilah: Why do
doctors love to play God? Dalilah tergelak besar dan berkata: If would worse
it you let lawyers play God! Ah, Dalilah�

Ketika arwah masih ada, saya sering mengusik beliau, saya bilang: “Awak ini
selebriti penyakit kanser!” Apa tidaknya? Sekiranya dijemput untuk
ditemubual di stesen televisyen atau berucap di hadapan pesakit-pesakit
kanser yang lain, mutiara kata dan teks ucapan akan Dalilah susun dan
rancang serapi mungkin. Elemen-elemen emosi diabaikan untuk memberi laluan
kepada semangat dan harapan kepada pesakit kanser yang lain. Setiap kali
Dalilah muncul di kaca televisyen, ibu saya adalah antara penonton merangkap
peminat setia beliau.

Dalilah bukan seperti pesakit kronik yang pernah saya temui. Tiada kanser di
dunia yang mampu memadamkan semangat perempuan kuat ini. Walaupun mengidap
kanser tahap keempat, Dalilah tetap berkeras untuk menjalankan tugas sebagai
isteri, ibu, penulis laman web dan buku, pejuang penyakit kanser, aktivis
kemasyarakatan dan macam-macam lagi. Bukan sedikit jasa dan peninggalan
arwah untuk dunia yang fana ini.

Sebelum Dalilah pergi, dia telah menghuraikan perjalanan beliau menentang
kanser dalam sebuah buku, Kanser Payudaraku, yang telah diterbitkan oleh
Tinta Publisher pada tahun 2009. Beberapa bulan sebelum sakaratul maut
datang menjemput, Dalilah sempat mengabadikan pesanan terakhir beliau dalam
lagu KembaliKu PadaMu Ilahi.

Saya teringat kata-kata Dalilah ketika saya menangis melihat dia terlantar
di katil hospital lewat setahun lepas: “Jangan menangis, Mish. Hidup ini
sementara sahaja. Aku tunggu kau di sana ya? Kalau aku mati, kau boleh tulis
pasal aku. Kau menulis sangat cantik, macam bidadari!” Sehingga sekarang,
masih ada batu besar yang terlekat di kerongkong saya.

Rakan Dalilah, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyuarakan pendapat
bahawa setiap kali selepas menziarahi Dalilah, semua orang akan pulang
dengan hati riang. Aneh bukan? Lazimnya jika menziarah orang sakit, kita
akan rasa sedih, terharu. Tetapi Dalilah yang saya kenal, memang pantang
melihat walau sezarah kesedihan. Senyuman Dalillah lebar lagi murah. Ketawa
dan jenaka jadi sulaman walaupun sedang perit berperang dengan chemotherapy.

Semenjak Dalilah sakit, tidak sekali saya mendengar dia mengeluh. Genap
seminggu selepas Dalilah melakukan tawaf wida’ di Tanah Haram, roh Dalilah
diangkat pulang ke Rahmatullah, pada tanggal 19 Julai 2010. Sekiranya hari
ini Dalilah masih hidup, beliau akan menyambut hari jadinya yang ke-43,
tetapi Tuhan lebih mengasihi Dalilah. Saya mohon maaf sekiranya garapan ini
tidak secantik bidadari, sahabat, tetapi saya sudah mencuba sedaya kudrat.

Benar Dalilah sudah pergi, tetapi obor semangat beliau akan terus menyala
dalam setiap hati yang pernah beliau sentuhi. Harimau mati meninggalkan
belang, Dalilah mati meninggalkan semangat. Semoga roh Dalilah Tamrin
ditempatkan di kalangan para solihin. Tunggu saya di sana, Dalilah. Suatu
hari saya juga akan pulang.

� Elviza Michele Kamal merasakan titipan minggu ini hambar sekali, langsung
tidak secantik bidadari.

Share

Share on Facebook