Pak Pandir sedang makan di sebuah kedai makan di kampungnya dan di sebelahnya ada seorang pekerja sedang membakar sate. Disebabkan kedudukan meja makannya dan tempat membakar sate amat hampir, Pak Pandir dapat menghirup bau sate yang sedap sehingga beliau kekenyangan.

Ketika mahu membayar bil, Pak Pandir terkejut dengan jumlah yang perlu dibayar yang tinggi. Lalu terus beliau memprotes dengan tauke.

“Kenapa saya kena bayar lebih?” Tanya Pak Pandir tidak puas hati.

“Awak dah hidu bau sate saya sehingga awak kenyang. Samalah macam awak memakannya” Tauke membalas.

Tidak puas hati Pak Pandir membawa kes berkenaan ke ketua kampung. Setelah mendengar penjelasan tauke kedai makan, Ketua kampung bertanya kepada Pak Pandir “Pak Pandir, apa yang nak buat sekarang?”

Dengan satu senyuman Pak Pandir mengeluarkan duit syiling dari poketnya lalu menggongcang mengeluarkan bunyi syiling. Kedua-dua tauke kedai makan dan ketua kampung kebingungan. “Apa awak buat ni” tanya ketua kampung kehairanan.

Dengan mudah Pak Pandir menjawab “Saya membayar bau sate dengan bunyi duit!”