Artikel dibawah dipetik dari Berita Harian 20 Oktober 2009

LHDN lewat bayar balik RM648.70j lebihan cukai

Jumlah pegawai, beban kerja di unit pungutan perlu selaras

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) lewat membayar balik sejumlah RM648.70 juta kepada pembayar cukai antara 10 hari hingga dua tahun bagi kes manual dan hingga setahun bagi kes e-Filing.

Jumlah membabitkan 421 transaksi yang disemak itu merangkumi 231 atau 54.5 peratus transaksi membabitkan 821 kes di mana lebihan cukai pendapatan lewat dibayar balik.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata kelewatan itu antaranya disebabkan pembangunan Sistem Taksir Sendiri (STS) untuk memproses Borang Nyata Cukai Pendapatan dilaksanakan secara berperingkat, maklumat atau dokumen yang dikemukakan pembayar cukai tidak lengkap atau diragui dan ketidakupayaan LHDN menangani masalah ini disebabkan pegawai bertanggungjawab perlu menguruskan tugas lain.

“LHDN perlu mematuhi tempoh penyelesaian kes pembayaran balik lebihan cukai pendapatan yang ditetapkan Piagam Pelanggannya bagi meningkatkan sistem penyampaiannya dan antara langkah berkesan adalah dengan mengkaji semula bilangan pegawai yang sebenarnya diperlukan untuk mengurus pembayaran balik lebihan cukai pendapatan di setiap cawangan atau unit pungutan supaya ia diselaras dengan beban kerja,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan di sini semalam.

Ambrin berkata, pada masa sama, pembayar cukai juga wajib memastikan maklumat taksiran, baucar dividen asal lengkap dan lebihan bayaran cukai pendapatan bagi tahun taksiran tertentu ditolak hutang cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah dan jumlah perbandingan bagi kes syarikat.

Selain itu, laporan itu juga menunjukkan daripada 1,83,094 kes permohonan bayaran balik lebihan cukai pendapatan bagi tempoh 2006 hingga 2008, LHDN selesai menyemak 1,788,106 kes atau 97.5 peratus, manakala 20,212 kes sedang disemak dan 25,776 kes lagi belum dibuat semakan.

“Sejumlah RM18.22 bilion bayaran balik lebihan cukai pendapatan dicatatkan membabitkan 1,219,653 kes atau 68.2 peratus antara tempoh 2006 hingga 2008,” katanya.

Mengenai ketidaktepatan maklumat dalam Borang BE, katanya, semakan Audit mendapati 1,198 borang bagi tahun taksiran 2005 hingga 2007 di enam cawangan iaitu Jalan Duta, Cheras, Kuala Terengganu, Kuantan, Seremban dan Kuching silap diisi seperti tuntutan jumlah pelepasan, pendapatan bercukai, pelepasan bagi anak kurang 18 tahun, perkiraan cukai yang perlu dibayar dan rebat cukai individu.

“Ketidaktepatan maklumat ini melewatkan proses mengemas kini status jumlah cukai dikenakan kepada pembayar cukai, mengakibatkan perkiraan cukai perlu dibayar atau dibayar balik tidak tepat dan meningkatkan kes yang perlu diaudit Unit Audit Meja,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online